Kamis, 16 Januari 2014

Sumayyah Bintu Khubath
Radhiallahu Anha
"Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
bersabda �Bersabarlah wahai keluarga Yasir,
kerana tempat yang dijanjikan bagi kalian
ialah syurga�.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
mendoakan keluarga Yasir, �Ya Allah,
janganlah Engkau seksa seorang pun dari
keluarga Yasir dengan api neraka�.
Keluarga yang agung dan mulia ini
menghimpunkan segala sisi keutamaan.
Keutamaan-keutamaan ini semerbak harum
menebarkan aroma kemuliaan dan ia tersebar
dari generasi terawal memeluk Islam
sehinggalah ke generasi akhir zaman.
Pemimpin keluarga ini, Yasir bin Amir bin Malik
berasal dari Yaman. Beliau datang ke Mekah
bersama-sama Al-Harits dan Malik dalam
rangka menjejaki saudaranya. Mereka berdua
kembali ke Yaman, sebaliknya Yassir terus
menetap di Mekah. Beliau kemudiannya
menjalin persahabatan dengan Abu Hudzaifah
bin Al-Mughirah bin Abdullah Al-Makhzumy,
yang kemudiannya menikahkannya dengan
seorang hamba wanita, Sumayyah bintu
Khubath, lalu melahirkan seorang anak lelaki,
bernama Ammar. Abu Hudzaifah kemudiannya
memerdekakan Sumayyah manakala Yasir
dan Ammar tetap bersama-sama dengan Abu
Hudzaifah sehingga meninggal dunia.
Sumayyah bintu Khubath, nama yang tidak
pernah dikenali di seluruh pelosok Mekah
sebelum Islam hadir memancarkan sinarnya di
Ummul Qura. Beliau seorang wanita yang
bersosok besar, usianya telah memasuki usia
senja. Namun, beliau memiliki akal yang jernih,
dan jiwanya memancarkan keikhlasan, bara
dan semangat!. Tidak berapa lama selepas
Rasulullah memulakan dakwah baginda,
keluarga Yasir muncul sebagai di antara
manusia terawal mengimani risalah Islam dan
membenarkan kerasulan Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam. Keimanannya yang
mendalam terhadap Allah menjadikan dirinya
sebagai pelopor wanita-wanita yang sabar
dan tegar mempertahankan akidah. Bahkan
beliaulah adalah orang ketujuh yang masuk
Islam dan di antara orang terawal yang
menampakkan keislamannya. Hal ini
disebutkan oleh Al-Imam Adz-Dzahaby
Rahimahullah di dalam bukunya, Siyar
A�lamin-Nubala� menerusi riwayat Abdullah
bin Mas�ud Radiallahu Anhu,
� Yang pertama sekali menampakkan
keIslaman mereka secara terang-terangan
ada tujuh orang; Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam, Abu Bakar, Ammar, ibunya
Sumayyah, Shuhaib, Bilal dan Al-Miqdad.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
mendapat perlindungan dari bapa saudarany
(Abu Talib). Abu Bakar mendapat
perlindungan kaumnya. Yang lain-lain pula
mengalami penyeksaan yang keras dari
orang-orang musyrik, dikenakan baju besi lalu
ditelantarkan di bawah terik matahari. Tidak
seorang pun dari mereka kecuali harus
memenuhi apa yang mereka inginkan, kecuali
Bilal. Dia tidak peduli apa yang menimpa
dirinya kerana Allah. Dia juga tidak peduli
kepada kaumnya. Ketika dia diseksa, kanak-
kanak kecil ikut sama mengerumuninya, dan
dia hanya mampu mengucapkan, �Ahad,
ahad, ahad�.
Keluarga Sumayyah turut sama berada di
barisan hadapan. Kemarahan kaum Quraisy
benar-benar memuncak. Hampir setiap nafas
mereka adalah hembusan kebencian kepada
orang-orang yang mengucapkan �Rabb kami
adalah Allah�. Penyeksaan-penyeksaan
tidak pernah menjadikan kaum Muslimin
berundur, malah mereka tetap istiqamah dan
terus mengikuti Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam.
Sementara itu, baginda hanya mampu
meniupkan kata-kata semangat dan motivasi
keimanan kepada keluarga Sumayyah kerana
tiada seorangpun yang mampu memberikan
jaminan kepada keluarga tersebut. Keluarga
itu menerima pelbagai jenis penyeksaan dari
orang-orang musyrik yang terbakar oleh api
dendam dan kebencian terhadap dakwah
Islam. Mereka memuaskan keinginan yang
gila dengan menyeksa Sumayyah dan
keluarganya. Ibnu AtsirRahimahullah
menyebutkan di dalam kitabnya, Usdul
Ghabah, tentang seksaan yang dialami oleh
Sumayyah dengan berkata, �Dia termasuk
orang-orang yang lebih dahulu masuk Islam
dan dia juga termasuk di kalangan orang-
orang yang mendapat seksaan yang keras
kerana Allah� .
KELUARGA YANG SABAR
Tiada yang mampu dilakukan manusia kecuali
terkagum terhadap keluarga Yasir, sebuah
keluarga yang mulia, yang diberi kemudahan,
dan yang mampu menggegarkan para
pemimpin kaum musyrikin Mekah. Mereka
yang sebelumnya dikenali sebagai orang-
orang yang lemah lembut, tidak lagi
mempunyai sifat itu tatkala berhadapan
dengan kaum kafir yang cuba mengoyakkan
keimanan mereka. Bahkan kaum musyrikin
hampir hilang akal kerana rasa marah ketika
melihat keluarga ini semakin tenang dan
mantap, tidak gerun terhadap seksaan, tidak
beranjak sedikit pun dari akidah mereka,
malah tidak surut kesabaran mereka ketika
dijemur di bawah terik matahari dalam
keadaan kehausan. Ketegaran keluarga ini
membuatkan kaum musyrikin kehairanan,
bingung dan semakin berang. Mereka
mengheret Ammar bersama kedua ibubapanya
ke tengah-tengah padang pasir yang panas
sepanasnya, agar mereka keluar dari Islam.
Ironinya, keluarga sabar ini sentiasa
bertambah keimanan mereka seiring dengan
semakin pedihnya seksaan. Mereka semakin
pasrah, terutamanya setelah mereka
mendengarkan doa memohon pengampunan
bagi diri mereka oleh Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam.
Salim Abul-Ja�d meriwayatkan, beliau
berkata, �Utsman memanggil beberapa
sahabat Rasulullah, di antaranya terdapat
Ammar bin Yasir. Ustman berkata, �Aku akan
menyampaikan kepada kalian hadis tentang
Ammar. Aku bersama Rasulullah pergi ke Al-
Bathha� sehingga kami menemui Ammar
berserta ibubapanya ketika kaum musyrikin
menyeksa mereka. Yasir berkata kepada
Rasulullah, �Apakah selamanya aku akan
begini?�. Baginda bersabda, �Bersabarlah!
�. Kemudian baginda bersabda, �Ya Allah,
berilah ampunan kepada keluarga Yasir,
kerana Engkau telah berbuat apa yang Engkau
Perbuat� . [Ditakhrij oleh Ahmad]
PENENTANGAN SUMAYYAH
Kaum musyrikin Quraisy hampir tidak pernah
menghentikan seksaan terhadap Sumayyah
dan keluarganya. Selepas suaminya
meninggal dunia akibat penyeksaan,
Sumayyah semakin menentang dan
memberikan reaksi keras terhadap Bani Al-
Mughirah bin Abdullah bin Makhzum, yang
dipelopori oleh Abu Jahal. Dia layaknya orang
yang tidak waras dan tidak berperasaan ketika
berhadapan dengan ketegaran Sumayyah
mempertahankan akidahnya. Baginya,
kedegilan Sumayyah ialah perlecehan
terhadap dirinya. Sumayyah telah berjaya
mencarik-carik kebesaran nama Abu Jahal di
kalangan kaum musyrikin kerana
kesabarannya terhadap kerasnya seksaan.
Hati Abu Jahal hampir saja meledak kerana
Sumayyah tidak mahu memperolok-olokkan
dan mengeji nama Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam, walau dengan hanya satu kata
seperti yang dipaksakan Abu Jahal
kepadanya.
Abu Jahal (semoga Allah menghinakannya),
tidak membiarkan satu pun sarana untuk
menghalangi manusia dari jalan Allah,
melainkan dia akan menggunakannya. Dia
tidak mendapatkan satu jalan pun untuk
menekan orang-orang Mukmin, melainkan dia
akan melaluinya. Ibnu Ishaq Rahimahullah,
menyampaikan satu gambaran yang jelas
tentang hal ini, dengan berkata,
� Abu Jahal, orang jahat yang terperdaya di
tengah-tengah kaum Quraisy, jika mendengar
berita seseorang masuk Islam, dan orang itu
adalah orang yang terpandang dan mendapat
jaminan perlindungan,maka dia hanya akan
mengingatkannya dan menegurnya dengan
berkata, �Kau tinggalkan agama bapamu,
padahal bapa-bapamu adalah lebih baik
darimu. Kami benar-benar akan mengalahkan
pendapatmu dan benar-benar akan
menghinakan kehormatanmu.�Jika yang
dihadapinya adalah seorang pedagang, maka
dia akan berkata 'Demi Tuhan, kami benar-
benar akan membuatkan kamu rugi dalam
perniagaanmu, dan kami benar-benar akan
menghancurkan harta bendamu'. Jika yang
dihadapinya adalah orang yang lemah, maka
dia akan memukul dan menyeksanya
semahu-mahunya. Semoga Allah melaknat
dan memburukkannya�
SYAHIDAH PERTAMA
Sumayyah Radiallahu Anha adalah wanita
pertama yang menampakkan keIslamannya, di
samping menjadi syahid pertama yang
mengorbankan dirinya di jalan Allah. Dalam
peristiwa kesyahidannya itu, terkandung
pelajaran-pelajaran berharga bagi sesiapa
yang memiliki hati atau mempunyai
pendengaran. Beliau menjadi sosok syahid
yang sebenarnya dan mempamerkan hakikat
sabar kepada para generasi seterusnya.
Setelah suaminya, Yasir meninggal dunia
kerana penyeksaan yang sangat berat,
Sumayyah Radiallahu Anhadiserahkan pula
oleh Abu Hudzaifah kepada Abu Jahal,
sehingga si jahat itu dapat menyeksa dengan
segala cara yang diinginkannya disamping
mengejek-ejek diri Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam dengan sejuta sumpah seranah dan
umpat keji. Suatu petang, Abu Jahal bersikap
keras kepada Sumyyah, kemudian berkata
kepadanya, �Engkau tidak beriman kepada
Muhammad melainkan kerana engkau tergila-
gila kepada ketampanannya�.
Apa pula reaksi Sumayyah? Beliau
memberikan jawapan yang tidak kalah
kerasnya, lantaran kemarahannya yang tidak
tertahan dengan tuduhan Abu Jahal itu.
Keangkuhan Abu Jahal terbukti apabila beliau
menikamkan tombak ke tubuh Sumayyah
sehingga menyebabkan Sumayyah meninggal
dunia sebagai syahid, rohnya naik kepada
Penciptanya dalam keadaan redha dan
diredhai, kerana telah memberikan kesaksian
tidak berbelahbagi bahawa tiada Ilah selain
Allah, dan bahawa Nabi Muhammad adalah
Rasul Allah.
Mujahid Rahimahullah berkata, �Syahid yang
pertama di dalam Islam ialah ibu Ammar,
Sumayyah yang ditikam Abu Jahal dengan
menggunakan tombak, tepat di ulu hatinya� .
(Al-Bidayah Wan-Nihayah, 3/59)
Ibnul Jauzy Rahimahullah berkata, � Dia
adalah syahid pertama di dalam Islam.
Semoga Allah redha kepadanya sebagaimana
Allah membuatkannya redha�.
IBNU SUMAYYAH
Sumayyah, nama ini dan sahabiyah ini tetap
hidup abadi menebarkan keharuman setelah
mati syahid dan beruntung telah meraih
keredhaan Allah. Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam terbiasa memanggil anaknya
Ammar, dengan sebutan �Ibnu Sumayyah�.
Maka, tidak dapat lagi dimungkiri bahawa
panggilan yang diberkahi ini merupakan
penghormatan terhadap sahabiyah yang sabar
dan baik ini. Panggilan itulah yang lebih sering
meluncur dari lisan Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam yang mulia.
Abdullah bin Mas�ud Radiallahu Anhu pernah
berkata, �Aku pernah mendengar Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, �Jika
manusia saling berselisih, maka Ibnu
Sumayyah berada pada kebenaran�. (Kisah
ini disebutkan di dalam Siyar A�lamin-
Nubala, 1/415-416; Tarikhul Islam, Adz-
Zahaby, 3/575)
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga
sering menyebutkan nama Sumayyah dengan
keutamaan dan kebaikan. Sewaktu Perang
Badar, baginda menyampaikan khabar
gembira bagi �orang baik yang mendapat
kebaikan�. (Julukan untuk Ammar, kerana
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah
bersabda kepadanya, �Selamat datang wahai
orang baik yang mendapat kebaikan�). Di
dalamnya disebutkan juga nama Sumayyah.
Peristiwa ini dikisahkan ketika musuh Allah,
Abu Jahal terbunuh di dalam Perang Badar.
Ketika itu Rasulullah menggembirakan Ammar
dengan berkata �Allah telah membunuh
orang yang membunuh ibumu�.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga
pernah mendoakan untuk Sumayyah dan
keluarganya dengan doa yang diberkahi ketika
Ammar mendatangi Rasulullah mengadu
seksaan yang dihadapi oleh ibubapanya
termasuk dirinya sendiri. Beliau berkata,
�Wahai Rasulullah, kami mendapatkan
seksaan yang sangat keras�. Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda,
�Bersabarlah wahai Abul Yaqzhan (julukan
lain bagi Ammar). Ya Allah, janganlah Engkau
seksa seorang pun dari keluarga Yasir dengan
api neraka� (Al-Isti�ab, 4/325; As-Sirah Al-
Halabiyah, 1/484)
NISA� MUBASSYARAT BIL JANNAH!
Inilah kisah sahabiyah yang sabar, yang
disajikan sirahnya sebagai wanita yang teguh
hati pada kebenaran dan keimanan, sehingga
menjadi pelopor di dalam perjuangan Islam
sepanjang zaman. Ibnu Abdil-Barr
Rahimahullahmemuji Sumayyah dengan
berkata, �Dia termasuklah orang yang
diseksa kerana Allah, dan sabar di dalam
menghadapi seksaan. Dia termasuklah wanita
yang berbaiat, baik dan terutama� (Al-
Isti�ab, 4/324)
Semoga Allah merahmati Sumayyah ibu
Ammar, wanita dan orang pertama yang mati
syahid di dalam Islam, ibu orang yang
pertama membangun masjid dan digunakan
untuk solat. Kesejahteraan bagi keluarga
Yasir, kesejahteraan ke atas kalian kerana
kesabaran kalian dan sesungguhnya kalian
akan mendapat balasan yang sebaik-baiknya.
�Terimalah khabar yang baik wahai keluarga
Ammar, kerana tempat yang dijanjikan bagi
kalian adalah syurga� (Sabda Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam yang disampaikan
oleh Ustman Al-Affan. Dipetik dari Thabaqat
Ibnu Sa�ad, 3/249; Majma� Az-Zawaid,
9/293; Tarikhul Islam Adz-Zahaby, 3/572)
Firman Allah SWT: �Sesungguhnya Allah
telah memberi dari orang-orang Mukmin, diri
dan harta mereka dengan memberikan syurga
untuk mereka. Mereka berperang kerana Allah,
lalu mereka membunuh dan terbunuh. (Itu
telah menjadi) janji yang benar dari Allah di
dalam kitab Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan
siapakah yang lebih menepati janjinya (selain)
daripada Allah? Maka, bergembiralah dengan
jual beli yang telah kalian lakukan itu, dan
itulah kemenangan yang besar� (At-Taubah:
111)
Sumayyah bintu Khubath Radiallahu Anha
termasuk sejumlah wanita yang terawal
menerima Islam dan bersegera memenuhi janji
Allah serta membenarkan apa yang telah
dijanjikan Allah kepada kaum Muslimin,
sehingga beliau berhak mendapat khabar
gembira sebagai orang yang dijanjikan
syurga. Bagaimana pula dengan kita sebagai
kaum muslimah akhir zaman? Semoga kisah
ini menjadi obor penyuluh dan
menyemarakkan lagi semangat kita dalam
mendakwahkan agama Allah ini sehingga tiba
janji Allah yang seterusnya, "akan berdiri
semula kekhilafahan di atas manhaj
kenabian" [HR Ahmad]

0 comments:

Blog Archive

About Me

Foto Saya
annisa
hidup adalah satu mangkuk penuh buah cherry. ada yang manis,ada yang kecut, ada yang hampir busuk. maka kita akan selalu untung-untungan dalam mencomot buah cherry itu. kata orang di amerika sana
Lihat profil lengkapku

Blog Archive

Share

Share

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail