Kamis, 16 Januari 2014

Asma' Binti Abu Bakar As Siddiq,
Dzatun Nithaqain
�Ya Allah! Kasihanilah dia kerana solat yang
panjang diselangi tangisan di tengah
kedinginan malam yang sepi, ketika orang-
orang lain sedang nyenyak dibuai mimpi. Ya
Allah! Kasihanilah dia yang sering menahan
lapar dan dahaga ketika bertugas jauh dari
Madinah atau Mekah dalam menunaikan
ibadah puasa kepadaMu. Ya Allah! Aku
menyerahkannya di bawah pemeliharaanMu,
aku redha dengan apa yang telah Engkau
tetapkan bagiku dan baginya, dan berilah
kami pahala orang-orang yang
sabar...!" [ Doa Asma' radhiallahu anha buat
puteranya, Abdullah bin Zubair]
Asma' binti Abu Bakar As-siddiq; saudara
kepada Aisyah Ummul Mukminin (isteri
Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam); puteri
kepada sahabat Rasulullah yang mulia,
Saidina Abu Bakar As-siddiq; isteri Zubair bin
Awwam, pejuang dan tokoh Islam yang
mengutamakan redha Allah di dalam
perjuangannya; Merupakan seorang wanita
muhajir yang mulia dan bonda kepada
Abdullah bin Zubair, salah seorang pejuang
yang gugur mempertahankan agamanya; dan
sesungguhnya kedudukannya ini cukup untuk
mengangkat darjat beliau ke tempat yang
tinggi, mulia dan terpuji. Peribadinya dirahmati
Allah dengan keistimewaan yang sangat
menonjol, setanding dengan para Muslimin di
ketika itu; cerdas, cerdik, lincah, pemurah dan
berani.
Kedermawanan beliau dapat dilihat jelas
melalui ucapan anaknya ," Aku belum pernah
melihat wanita yang sangat pemurah melebihi
ibuku termasuk Aisyah Radhiallahu anha.
Beliau (Aisyah) mengumpulkan apa yang
diperolehinya sedikit demi sedikit, lantas
setelah itu barulah dinafkahkannya kepada
mereka yang memerlukannya. Sedangkan
ibuku, dia tidak pernah menyimpan sedikit pun
sehingga hari esok"
Kebijaksanaan Dzatun Nithaqain
Kecemerlangan berfikir Asma Radhiallahu
anha terpancar dari sikapnya yang penuh
prihatin dan perhitungan yang bijaksana.
Peristiwa Hijrah Abu Bakar menyaksikan
pengorbanan seorang sahabat demi Islam,
tidak meninggalkan sesen pun harta untuk
keluarganya melainkan dibelanjakan
keseluruhannya untuk Allah dan rasulNya.
Ketika Abu Quhafah (ayah kepada Abu Bakar
radhiallahu anhu) yang masih musyrik
menemui keluarganya, beliau berkata kepada
Asma', "Demi Allah! Tentu ayahmu telah
mengecewakanmu dengan hartanya, di
samping akan menyusahkanmu dengan
pemergiannya!" . Jawab wanita yang mulia ini,
"Tidak wahai datuk! sekali-kali tidak! Beliau
banyak meninggalkan wang buat kami"
ujarnya sambil menghibur dan menenangkan
datuknya. Dikumpulkannya batu-batu kerikil
yang kemudiannya dimasukkan ke dalam
lubang tempat kebiasaannya menyimpan
wang. Kemudian dibawakan datuknya yang
buta itu ke tempat simpanan tersebut, lantas
berkata, "Lihatlah datukku! Beliau banyak
meninggalkan wang buat kami!" . Perkataan
tersebut ternyata berjaya meyakinkan Abu
Quhafah. Maksud perbuatan tersebut adalah
untuk menyenangkan hati datuknya, agar
tidak bersusah hati memikirkan hal tersebut.
Malah, Asma'  juga tidak menginginkan
bantuan dari orang musyrik meskipun
datuknya sendiri. Inilah bukti yang
menunjukkan besarnya perhatian beliau
terhadap dakwah dan kepentingan kaum
Muslimin.
Diberi julukan sebagai 'dzatun nithaqain' oleh
Rasulullah yang membawa erti "wanita yang
mempunyai dua talipinggang", sebagai
peringatan terhadap peristiwa Hijrah yang
menyaksikan pengorbanan dan keberanian
Asma' yang tiada tolok bandingannya. Beliau
bersusah payah menyediakan bekalan
makanan dan minuman buat Rasulullah dan
Abu Bakar Radhiallahu anhu di saat genting
seperti itu. Beliau mengoyakkan ikat
pinggangnya kepada dua untuk dijadikan tali
pengikat untuk mengikat bekalan makanan
dan minuman tersebut, sehingga kerana
peristiwa itu Rasulullah mendoakan beliau
agar digantikan tali pinggang tersebut dengan
yang lebih baik dan lebih indah di syurga
kelak.
Tidak hanya itu pengorbanan Asma
Radhiallahu anha. Peristiwa hijrah ini turut
menyaksikan kekuatan berfikir dan
perancangan strategi yang dimiliki oleh
seorang Muslimah hasil dari aktiviti politik dan
kecemerlangan berfikir yang diadun dengan
ketaqwaan dan keimanan yang teguh. Asma'
Radhiallahu anha bukan sekadar menjadi
penghantar makanan kepada dua orang
sahabat yang berperanan penting bagi umat
Islam, malah beliau juga menyampaikan
berita-berita penting tentang rencana-rencana
pihak musuh terhadap kaum Muslimin.
Dengan kehamilannya ketika itu, Asma'
mengambil  peranan yang menjanjikan risiko
tinggi, di mana bukan saja nyawanya menjadi
taruhan, malah lebih dari itu, nyawa
Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan
ayahnya turut sama terancam. Memikirkan
kemarahan musuh Islam lantaran lolosnya
Rasulullah dari kepungan, kafir Quraisy
pastinya akan berusaha bersungguh-sungguh
mencari-cari Rasulullah Sallallahu Alaihi wa
Sallam untuk dibunuh kerana bencinya
mereka terhadap dakwah Islam dan pejuang-
pejuangnya.
Di saat-saat genting seperti itu, Asma' mampu
meramal segala kemungkinan yang bakal
berlaku, dan dengan kecerdikan dan penuh
perhitungan, beliau berjalan menuju Gua Tsur
sambil menggembala kambing-kambingnya
berjalan di belakangnya. Taktik ini dilakukan
untuk mengaburi mata pihak musuh kerana
jejaknya terhapus oleh jejak-jejak kambing
gembalaannya itu. Tindakan ini belum tentu
mampu dilakukan oleh seorang lelaki yang
berani sekalipun, lantaran hal tersebut bakal
mengundang bahaya, kezaliman, dan
kekejaman orang-orang kafir Quraisy.
Permasalahan ini tidak cukup sampai di situ.
Setelah kejayaan Rasulullah dan Abu Bakar
keluar dari tempat persembunyian dan
berhasil berhijrah ke Madinah, Asma'
Radhiallahu anha dan keluarganya didatangi
beberapa orang Quraisy, di antaranya Abu
Jahal yang telah bertindak kasar menampar
pipi Asma� Radhiallahu anha dengan sekali
tamparan yang mengakibatkan subangnya
terlepas!. Asma' menjawab dengan penuh
diplomasi saat beliau ditanya tempat
persembunyian Rasulullah dan ayahnya
dengan berkata, " Demi Allah, aku tidak tahu di
mana ayahku berada sekarang!"
Hijrah Asma' Radhiallahu anha dan suaminya
ke Madinah berlaku selang beberapa lama dari
hijrah sebelumnya, di mana pada ketika itu
Asma' sedang sarat mengandungkan Abdullah
bin Zubair dan hanya menanti detik-detik
kelahirannya. Perjalanan yang jauh dan
berbahaya ditempuhi jua sehinggalah
angkatan para sahabat tiba di Quba'.
Kelahiran anak pasangan sahabat ini
disambut dengan penuh kesyukuran dan
kegembiraan. Dialah bayi pertama yang
dilahirkan di Madinah.
Sebaik-baik Ummu wa Rabbatul Bait
Seorang muhajirah yang agung, antara wanita
yang awal memeluk Islam, sangat memuliakan
suaminya meskipun Zubair hanya seorang
pemuda miskin yang tidak mampu
menyediakan pembantu buatnya. Hatta tidak
mempunyai harta yang dapat melapangkan
kehidupan keluarganya, melainkan hanya
seekor kuda yang dijaganya dengan baik.
Beliaulah isteri yang sentiasa sabar dan setia
berkhidmat untuk suaminya, sanggup bekerja
keras merawat dan menumbuk sendiri biji
kurma untuk makanan kuda suaminya di saat
Zubair sibuk menjalankan tugas-tugas yang
diperintah Rasulullah kepadanya.
Di dalam didikannya, keperibadian Abdullah
bin Zubair dibentuk. Beliau adalah susuk
seorang ibu yang sangat memahami
peranannya dalam melahirkan generasi utama
yang berkualiti, generasi yang menjadikan
kecintaan kepada Allah dan RasulNya di atas
segala-galanya, sama ada harta, isteri,
keluarga mahupun segala jenis
perbendaharaan dunia. Beliau mencetak
keperibadian generasi yang siap berjuang
membela bendera Islam dan kalimah La ilaha
illallah Muhammad Rasulullah. Keperibadian
seperti ini terpancar jelas di dalam diri
puteranya, Abdullah bin Zubair. Hal ini dapat
kita teladani melalui kisah pertemuan terakhir
di antara seorang ibu dan anak yang saling
menyayangi dan mencintai satu sama lain,
semata-mata kerana kecintaan keduanya
kepada Allah Subhanahu wa Taala dan
RasulNya.
Abdullah: Assalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh, wahai ibunda!
Asma': Wa'alaikum salam warahmatullahi
wabarakatuh, ya Abdullah! Mengapa engkau
datang ke sini di saat-saat seperti ini? Padahal
batu-batu besar yang dilontarkan Hajjaj
kepada tenteramu menggetarkan seluruh Kota
Mekah?
Abdullah: Aku hendak bermusyawarah dengan
ibu.Asma': Tentang masalah apa?Abdullah:
Tenteraku banyak meninggalkanku. Mereka
membelot dariku ke pihak musuh. Mungkin
kerana mereka takut terhadap Hajjaj atau
mungkin juga kerana mereka menginginkan
sesuatu yang dijanjikannya sehingga anak-
anak dan isteriku sendiri berpaling daripadaku.
Sedikit sekali jumlah tentera yang tinggal
bersamaku. Sementara utusan Bani Umayyah
menawarkan kepadaku apa saja yang ku
minta berupa kemewahan dunia asal saja aku
bersedia meletakkan senjata dan bersumpah
setia mengangkat Abdul Malik bin Marwan
sebagai khalifah. Bagaimana pendapatmu
wahai ibu?
Asma': Terserah kepadamu Abdullah!
Bukankah engkau sendiri yang mengetahui
tentang dirimu? Jika engkau yakin bahawa
engkau mempertahankan yang haq dan
mengajak kepada kebenaran, maka
teguhkanlah pendirianmu sepertimana para
perajuritmu yang telah gugur dalam
mengibarkan bendera agama ini! Akan tetapi,
jika engkau menginginkan kemewahan dunia,
sudah tentu engkau adalah seorang anak
lelakiku yang pengecut! dan bererti engkau
sedang mencelakakan dirimu sendiri dan
menjual murah harga kepahlawananmu
selama ini, anakku!
Abdullah: Akan tetapi, aku akan terbunuh hari
ini ibu .
Asma' : Itu lebih baik bagimu daripada
kepalamu akan dipijak-pijak juga oleh budak-
budak Bani Umayyah  dengan
mempermainkan janji-janji mereka yang
sangat sukar untuk dipercayai!
Abdullah: Aku tidak takut mati, Ibu. Tetapi aku
khuatir mereka akan mencincang dan
merobek-robek jenazahku dengan kejam!
Asma': Tidak ada yang perlu ditakuti
perbuatan orang hidup terhadap kita sesudah
kita mati. Kambing yang sudah disembelih
tidak akan merasa sakit lagi ketika kulitnya
dikupas orang!
Abdullah: Semoga Ibu diberkati Allah. Maksud
kedatanganku hanya untuk mendengar apa
yang telah ku dengar dari ibu sebentar tadi.
Allah Maha Mengetahui, aku bukanlah orang
yang lemah dan terlalu hina. Dia Maha
Mengetahui bahawa aku tidak akan
terpengaruh oleh dunia dan segala
kemewahannya. Murka Allah bagi sesiapa
yang meremehkan segala yang
diharamkanNya. Inilah aku, anak Ibu! Aku
selalu patuh menjalani segala nasihat Ibu.
Apabila tewas, janganlah ibu menangisiku.
Segala urusan dari kehidupan Ibu,
serahkanlah kepada Allah!
Asma': Yang ibu khuatirkan andainya engkau
tewas di jalan yang sesat.
Abdullah: Percayalah Ibu! Anakmu ini tidak
pernah memiliki fikiran sesat untuk berbuat
keji. Anakmu ini tidak akan menyelamatkan
dirinya sendiri dan tidak memperdulikan
orang-orang Muslim yang berbuat kebaikan.
Anakmu ini mengutamakan keredhaan ibunya.
Aku mengatakan semua ini di hadapan ibu
dari hatiku yang putih bersih. Semoga Allah
menanamkan kesabaran di dalam sanubari
Ibu.
Asma': Alhamdulillah! segala puji bagi Allah
yang telah meneguhkan hatimu dengan apa
yang disukaiNya dan yang Ibu sukai pula.
Rapatlah kepada Ibu wahai anakku, Ibu ingin
mencium baumu dan menyentuhmu. Agaknya
inilah saat terakhir untuk ibu memelukmu..."
Abdullah: Jangan bosan mendoakan aku Ibu!
Sebelum matahari terbenam di petang itu,
Abdullah bin Zubair syahid menemui Rabbnya.
Dia kembali kerana mengutamakan redha
Allah dan redha ibunya yang beriman.
Diriwayatkan, bahawa Al-Hajjaj berkata
kepada Asma' setelah Abdullah
terbunuh :"Bagaimanakah engkau lihat
perbuatanku terhadap puteramu ?" Asma'
menjawab :"Engkau telah merosak dunianya,
namun dia telah merosak akhiratmu." Asma'
wafat di Mekkah dalam usia 100 tahun,
sedang giginya tetap utuh, tidak ada yang
tanggal dan akalnya masih sempurna.
[Mashaadirut Tarjamah : Thabaqaat Ibnu
Saad, Taarikh Thabari, Al-Ishaabah dan Siirah
Ibnu Hisyam]. Semoga Allah meredhai kedua
hambaNya, Asma' dan puteranya.
Khatimah
Inilah sebuah teladan yang sangat berharga
buat kita semua. Asma' Radiallahu anhabukan
sahaja menunjukkan keberaniannya,
kepatuhannya kepada Allah, suami dan
ayahnya; juga pengorbanannya yang besar,
sikap dermawannya dan kecemerlangan
berfikir yang menjadi cermin keperibadiannya.
Bersama suaminya, Zubair bin Awwam,
terbentuklah keluarga sakinah, mawaddah wa
rahmah; bukan kerana harta yang melimpah
ruah, tetapi  limpahan barakah dan rahmat
dari Allah Subhanahu wa Taalakerana ahli
keluarganya yang menjadikan kecintaan
mereka hanya kepada Allah dan Rasul di atas
kecintaan-kecintaan lainnya. Dari keluarga ini,
lahirlah seorang syuhada yang gagah berani,
tidak takut terhadap apapun kecuali Allah
Subhanahu wa Taala Semoga kisah Asma�
Abu Bakar ini akan sentiasa mekar di jiwa kita
sebagai motivasi diri dalam menyemai
kecintaan serta menjalankan kewajipan
terhadap Rabbul Izzati.

0 comments:

Blog Archive

About Me

Foto Saya
annisa
hidup adalah satu mangkuk penuh buah cherry. ada yang manis,ada yang kecut, ada yang hampir busuk. maka kita akan selalu untung-untungan dalam mencomot buah cherry itu. kata orang di amerika sana
Lihat profil lengkapku

Blog Archive

Share

Share

twitterfacebookgoogle pluslinkedinrss feedemail